Header Ads

Header Ads 728x90 (will be updated soon)
Breaking News
recent

SK Bagan Serai memulakan langkah pertama kempen denggi

Terpilih mewakili daerah Kerian dalam program Patrol Denggi sedikit sebanyak membangkitkan semangat dan motivasi warga komuniti Sekolah Kebangsaan Bagan Serai untuk terus memerangi nyamuk Aedes secara berterusan. Memegang status sebagai Sekolah Transformasi di daerah Kerian, sekolah ini menyahut baik seruan ini dan memulakan langkah demi langkah dalam membanteras wabak denggi.

Puan Fatimah Hashim, Guru Besar
Menurut Puan Fatimah Hashim, Guru Besar, menjalankan program banteras nyamuk Aedes dalam Patrol Denggi amat bermakna kerana program ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Syarikat Sanofi Pasteur.

Beliau berkata demikian sewaktu bersama-sama dengan seluruh warga ibu bapa sekolah dalam Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dianjurkan pada 10 Mac.

"Penglibatan semua pihak dalam menjayakan kempen Patrol Denggi ini adalah amat dialu-alukan dan sebarang bentuk sumbangan, tidak kira dalam wang ringgit atau kerahan tenaga adalah amat dihargai. Hanya Allah S.W.T. sahaja yang dapat membalas jasa dan budi baik para dermawan dan para sukarelawan", ujar beliau lagi.

Dalam pertandingan Patrol Denggi peringkat negeri Perak, terdapat empat (4) kategori dipertandingkan iaitu Seni Persembahan, Media Sosial, Khidmat Komuniti dan Kuiz Denggi. Dalam kategori Seni Persembahan, sekolah digalakkan menyampaikan mesej pencegahan denggi dan nyah nyamuk aedes secara kreatif melalui seni persembahan. Justeru, pihak sekolah telah merekacipta lirik lagu dan menggubah gerak tari khas senamrobik dengan lagu trending yang tular di media sosial dewasa ini, Panama.

Pasukan Patrol Denggi SK Bagan Serai mempersembahkan senamrobik Panama Denggi di hadapan 170 orang penonton

Dalam kategori Media Sosial pula, mengikut syarat pertandingan, setiap kiriman dalam media sosial oleh pihak sekolah perlu ditulis dalam Bahasa Inggeris. Sekolah digalakkan menggunakan media sosial sebanyak mungkin untuk menyalurkan maklumat berkaitan kesedaran denggi. Buat masa ini, pihak sekolah telah menyediakan saluran Facebook (https://fb.me/denguepatrolskbs), Instagram (https://www.instagram.com/denguepatrolskbs/), Twitter (https://twitter.com/DenguePatrol_BS), Youtube (https://goo.gl/zV65wF), Blog (https://denguepatrolskbs.blogspot.my/) dan Google Plus (https://goo.gl/wJ8uEf). 


Untuk memudahkan pengguna mengikuti semua jenis saluran media sosial ini, pihak sekolah telah membangunkan sebuah aplikasi Android berjudul 'Dengue Patrol SKBS'. Di dalam aplikasi ini, kesemua pautan laman media sosial telah disatukan agar pengguna boleh mengikuti semua perkembangan kempen Patrol Denggi sekolah dengan mudah.

Di dalam aplikasi ini juga disediakan menu Kuiz Wajib Patrol Denggi. Kuiz wajib ini merupakan kategori keempat dalam Pertandingan Patrol Denggi peringkat negeri Perak ini. Sekolah digalakkan menghantar 70% penyertaan daripada jumlah murid dan 30% penyertaan daripada ibubapa/penjaga/saudara.

Untuk memuat turun aplikasi ini, pengguna boleh menaip carian di Google Play Store: Dengue Patrol SKBS atau melalui pautan https://play.google.com/store/apps/details?id=com.skbaganserai.denguepatrol.


Sementara itu, kategori seterusnya ialah Khidmat Komuniti. Sekolah digalakkan mengadakan aktiviti seperti gotong-royong, pameran, sesi penerangan dan apa jua bentuk yang boleh melibatkan penyertaan komuniti setempat atau orang awam.

Murid-murid dan guru bergambar selepas penat bergotong-royong membersih dan menghapus kawasan pembiakan nyamuk Aedes
Ibu bapa menjawab Kuiz Denggi selepas di kaunter pendaftaran kehadiran Mesyuarat Agung PIBG
Shout Out "Tiada Aedes Tiada Denggi"

Pihak sekolah sentiasa menerima jemputan untuk kempen denggi, baik dari segi gotong-royong, persembahan kreatif untuk program-program keraian, pameran pendidikan dan lain-lain agar mesej bahaya denggi dapat disampaikan. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan Patrol Denggi, boleh hubungi En Musa b Jailani (Penolong Kanan Hal Ehwal Murid) di talian 017-4903928 atau terus menghubungi pihak sekolah di talian 05-7210423.



No comments:

Powered by Blogger.